Penghuni HUTAMAH




Gentar hati ini tika mendengar bagaimana gambarannya neraka hutamah itu.
"neraka hutamah gambarannya bagaikan sebuah 'rice cooker'....penghuninya akan ditempatkan dalam neraka yang tertutup seperti itu di mana api akan membakar hingga ke hati dalam keadaan penghuninya terikat pada satu tiang yang panjang...bayangkan jika kita berada dalam 'rice cooker' yang sedang dipanaskan...pasti kita akan menjerit kepanasan dan kesakitan sedangkan terkena wapnya sedikit pun kita sudah tidak mampu menahan kepanasan....begitulah hutamah!!.."
Siapakah penghuni neraka ini?
“Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela,yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya,manusia mengira hartanya itu akan mengekalkannya.Sekali-kali tidak.Pasti dia akan dilemparkan ke dalam neraka hutamah.” (Al Humazah: 1~4)
Allah s.w.t telah berfirman bahawa neraka hutamah adalah hanya untuk dua golongan ini iaitu pengumpat dan pencela serta pengumpul harta yang tidak menggunakannya ke jalan yang diredhaiNya. Fitrah manusia, sesungguhnya kita amat lemah sekali, terutamanya dalam mengumpat dan mencela, mudah sekali kita tergelincir sebagai pengumpat dan pencela. Apabila timbul kesangsian dan perasaan tidak suka kepada seseorang, saya yakin pasti ramai yang tidak dapat menahan hatinya dari terus bekata-kata lalu terpancarlah ke mulut untuk berbicara mengenai seseorang itu, demi kepuasan hati kita sendiri. Tapi, itu bukanlah cara terbaik untuk kita mendamaikan atau memuaskan hati kita yang sarat dengan perasaan prasangka atau tidak suka itu.
"Wahai orang-orang yang beriman!Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang."(Al-Hujurat:12)
Adalah lebih baik kiranya kita husnuzon(bersangka baik) terhadap setiap perlakuan setiap sahabat dan teman kita walaupun kita tidak menyukai sikapnya kerna ingatlah sahabatku bahawa syaitan itu sentiasa akan berusaha untuk "mencucuk"hati-hati kita dari pelbagai arah malah kita juga tidak tahu dari mana pintu masuk syaitan. Janganlah kita menjadi seseorang yang mengapi-apikan lagi percakapan sahabat kita yang sedang mengumpat atau mencela seseorang yang lain kerna mendiamkan diri itu adalah jalan terbaik.
"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah salahnya. Barangsiapa yang banyak salahnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". ( Riwayat ABU NAIM )

"Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". ( Riwayat BUKHARI & MUSLIM )

Biarpun ada di kalangan teman yang tidak menyukai kita dan sering berkata di belakang kita, bersabarlah. Tahanlah kata-kata kita dari berbicara sesuatu yang tidak akan mendatangkan manfaat sebaliknya hanya memuaskan nafsu semata. Biarlah orang mengumpat kita kerna ujian yang kita hadapi tidak sehebat Rasulullah s.a.w dan para sahabat ketika menyebarkan dakwah islamiyah ketika era penyebaran dakwah di Makkah suatu tika dulu. Baginda dicaci malah turut dihina. Namun, baginda dan para sahabat tetap bersabar atas keimanan mereka yang tinggi terhadap Allah s.w.t. Sahabatku,berdoalah moga Allah mengurniakan hidayahNya pada hati-hati mereka yang "terkunci" kerna Dialah yang memegang hati-hati kita dan ingatlah bahawa doa adalah senjata orang mukmin.

Manusia sering berbangga-bangga dengan harta, kekayaan yang dimilikinya serta kejayaan yang diperolehinya. Misalnya apabila membeli barangan baru, ditambah pula jika barangan tersebut berjenama dan mahal, pasti ingin ditunjukkan pada satu dunia tentang kemampuannya untuk memiliki barangan seumpama itu. Begitulah senario masyarakat kita sekarang. Tahniah saya ucapkan kepada pengasas hedonisme yang berjaya membuatkan manusia kemaruk dengan falsafahnya yang mana berseronok dan kemewahan adalah matlamat hidup mereka!!Tapi, lupakah kita bahawa semua itu adalah milik Allah.Ya, milik Allah!!Semua yang kita miliki di dunia adalah pinjamanNya. Kekayaan, kebahagiaan, kejayaan...semuanya adalah pinjaman dariNya. Ingatlah tanpa pertolongan Allah kita tidak akan mampu memiliki semua itu.
Tahukah kita apakah pinjaman Allah yang terbaik?
"Wahai orang-orang yang beriman!Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?(Iaitu)kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu.Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui."(As-saff-10~11)
Dalam hidup ini, Allah kurniakan kita keluarga, tubuh badan yang sihat dan akal yang cerdas sebagai PINJAMAN. Dan Dia jadikan ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan sebagai MODAL. Kedua-duanya adalah untuk kita gunakan dalam perdagangan atau perniagaan kita ketika di dunia. Tapi, PERDAGANGAN yang bagaimana?Iaitu kita beriman kepada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya dengan PINJAMAN dan MODAL yang dikurniakanNya. Apakah pula KEUNTUNGAN dari PERDAGANGAN ini? Begitulah yang dijanjikanNya kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa iaitu keuntungan SYURGA di akhirat kelak.
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah,sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjiNya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung."(At-Taubah:111)
Dalam perniagaan atau jual beli, pasti ada pembeli dan penjualnya. Jika barang yang ingin dibeli itu suatu yang berkualiti, sudah tentu si penjual akan menjualnya dengan harga yang mahal menandakan pembeli perlu membayar dengan harga yang tinggi setanding dengan kualiti barang tersebut. Begitulah juga Allah. Dia melaksanakan jual beli dengan hambaNya. Jadi, jika kita ingin menjadi penghuni syurga di akhirat kelak bagaimana kita akan memperolehinya kiranya amalan kita tidak setanding dengan pemberian Allah itu?

Banyak kisah para sahabat zaman rasulullah s.a.w dulu yang boleh kita contohi melalui sifat zuhud yang dimiliki mereka. Saya ingin ceritakan sedikit mengenai seorang sahabat iaitu Abu ad-Darda. Pada zaman pemerintahan al-Farouq r.a, beliau ingin melantik Abu ad-Darda sebagai petugasnya di Syam, tetapi beliau menolak. Maka Umar mendesaknya dengan sungguh-sungguh. Akhirnya Abu ad-Darda berkata:
"Jika kamu setuju saya ke sana untuk mengajarkan mereka Al-Quran, Sunnah Nabi dan mengimamkan solat mereka, saya akan pergi."
Umar r.a setuju dengan cadangan itu.
Abu ad-Darda pun bertolak ke Damsyiq. Apabila sampai di sana, beliau mendapati manusia telah bergelumang dengan kemewahan. Mereka tenggelam dalam kenikmatan.Suasana itu mengejutkan beliau. Beliau lantas mengajak orang ramai berkumpul di masjid. Setelah orang ramai berkumpul, beliau bangun berucap;

"Wahai penduduk Damsyiq, kamu semua adalah saudara seagama, jiran tetangga dan penolong melawan musuh."
"Wahai penduduk Damsyiq, apakah yang menghalang kamu daripada mengasihi dan menerima nasihat saya. Padahal saya tidak menuntut apa-apa daripada kamu. Nasihat saya adalah untuk kamu sedangkah nafkah saya bukan kamu yang tanggung."

"Kenapa saya lihat para ulama kamu telah meninggal dunia, namun orang yang jahil masih tidak belajar?...Saya juga lihat kamu bersungguh-sungguh mengejar perkara yang Allah telah jamin untuk kamu, sebaliknya kamu meninggalkan perkara yang diperintahkan kepada kamu?!

"Kenapa saya lihat kamu mengumpul harta yang kamu tidak makan?!

"Kamu membina bangunan yang tidak kamu diami?!

"Kamu berangan-angan perkara yang kamu tidak boleh sampai kepadanya?!!
"Sesungguhnya umat sebelum kamu telahpun mengumpul harta dan berangan-angan...Tetapi sekejap sahaja, harta yang mereka kumpulkan itu menjadi hancur dan musnah...Angan-angan mereka cuma tipu daya semata-mata...Dan kediaman mereka menjadi kubur....."

"Wahai penduduk Damsyiq, perhatikan kaum 'Aad. Mereka telah memenuhi bumi ini dengan harta dan anak pinak...Tapi, pada hari ini, siapakah yang mahu membeli peninggalan 'Aad daripada saya dengan harga 2 dirham??"


Abu ad-Darda memperingatkan mereka dengan penuh perasaan. Orang ramai mula menangis sehingga suara tangisan dapat didengari dari luar masjid. Semenjak hari tu, Abu ad-Darda berulang-alik ke perhimpunan orang ramai dan menjelajah ke serata pasar mereka. Beliau menunaikan hajat mereka yang meminta, mengajar mereka yang jahil dan memperingatkan mereka yang lalai. Beliau merebut setiap peluang dan memanfaatkan setiap keraian untuk tujuan tersebut.
************************************
Jika kita telusuri sejarah Islam, golongan as-sabighun al-awwalun atau golongan awal yang memeluk Islam begitu merasai dan menghargai syahadah. Kerna itu mudah bagi mereka merasai bahawa harta kekayaan mereka, semuanya adalah milik Allah s.w.t semata dan sering merasakan bahawa dunia hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t.
"Apabila seseorang itu sedar tujuan hidupnya di atas muka bumi ini hanyalah sebagai hamba Allah, akan terdetik di hatinya bahawa semua yang dimilikinya adalah pinjaman semata dari Allah s.w.t"
Seperti apakah neraka hutamah itu?
“Api (azab) Allah yang dinyalakan,yang membakar sampai ke hati, sungguh api itu ditutup rapat di atas diri mereka, sedang mereka diikat pada tiang yang panjang.” (Al Humazah: 6~8)

Dalam ayat di atas, Allah s.w.t mengingatkan kita tentang "azabNya yang dinyalakan". Azab itu bukan hanya diberikan kelak di akhirat nanti bahkan sejak di dunia lagi, orang yang termasuk golongan penghuni hutamah ini telah mendapat azab. Lihatlah orang yang kikir dan baghil. Mereka sentiasa merasakan hartanya mampu menjamin hidupnya, tetapi enggan memberi sebahagian hartanya untuk fakir miskin. Allah telah tampakkan azab dunia sebagai mana firmanNya, "hidupnya tidak tenteram, selalu takut akan berkurang hartanya, ke mana-mana berselisih tentang harta, banyak menzalimi orang sehingga hatinya terasa terbakar.Bahkan Allah menutup rapat api itu atas diri mereka, maksudnya hidupnya penuh dengan masalah, jarang sekali hatinya merasai ketenangan, sehingga apa-apa yang dilakukan mengiring mereka kepada azab Allah s.w.t."Nauzubillahuminzalik....moga kita dijauhkan dari tergolong dalam golongan seperti ini.

Sahabatku, Allah mengajar kita supaya berakhlak mulia kerna itulah cermin kepada kebenaran yang dibawa agama ini. Bahkan "sesungguhnya rasulullah s.a.w diutuskan kerana akhlak baginda."Justeru itu, jauhkanlah diri kita dari tergolong dalam dua golongan tersebut, sepertimana dalam firmanNya dalam surah Al-Humazah ayat 1~4. Mahupun mengumpat dan mencela serta menghitung-hitung harta yang dimiliki bukanlah amalan yang mampu membawa kita kepada kebahagiaan yang hakiki. Kerna kebahagiaan yang hakiki hanya layak dirasai bagi jiwa-jiwa yang tenang. Ingatlah, sesungguhnya dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang.

“Wahai orang-orang yang beriman,peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu,penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah” (At-Tahrim: 6)
*video selingan....insyaAllah sama-sama kita bermuhasabah kembali=)


3 comments:

zahratulhilal said...

jzkk ayu sayang.. :)

'Abid Sakina said...

salam ziarah kak ayu..
alhamdulillah..mantap n comey blog kak ayu
add la ym aiman..abid_sakina
lame x dgr cite..xtau nk tulis katne..sory tulis kt ruang komen ni..hehe

FloWeR LoVeR said...

to zahratulhilal: wayyaki..=)
insyaAllah..jumpe weekend nih er...

to nurul88: jzkk ya ukhti....akak dh add awk...teringin benar nk tau perkembangan da'wa di bandung sane=)