Curahan hati malam Isnin...=)


Bismillahirrahmanirrahim....

Tiba-tiba hati terasa sedih sangat selepas membaca email dari seorang akhwat. Terasa yang saya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah suasana liqa' saya sendiri(=_=). Hati tumpang gembira melihat perubahan positif liqa' yang dibawa sahabat saya itu. Alhamdulillah atas kesungguhan dia, Allah beri balasan yang setimpal. Moga Allah terus beri kekuatan serta mentarbiyah diri saya dan sahabat yang lain supaya menjadi murabbi dan mutarabbi yang lebih baik dari hari ke hari. Walaupun saya tiada "harun" di sisi, tapi saya yakin Allah adalah tempat pergantungan saya yang TERBAIK...=)

"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari rasa gelisah dan sedih, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat pengecut dan bakhil, dari tekanan hutang, dan kesewenang-wenangan orang."
By the way, hari ini genaplah satu tahun umur anak buah saya yang pertama. Sanah helwah baby Isya^_^....Moga Allah memberkati setiap detik nafasmu dan memimpinmu menjadi seorang mujahidah apabila besar nanti. Ameen.Mulala rasa rindu ni datang..=)


Miss u badly...Luv u so much!


p/s: esok perlu kembali ke sekolah setelah seminggu bercuti kerana swine flu...huhu..gambarou!!

Syeikh: Seorang lumpuh yang menggerakkan dunia

Tanggal 15 mei 2009 yang lepas , bertambah satu angka menjadikan 61 tahun kini usia nakhbah palestin. Namun status bumi palestin kini masih kabur.Malah,dalam tempoh 61 tahun ini telah ramai pejuang Palestin yg mati syahid dibunuh oleh yahudi zionis yang tidak berperikemanusiaan itu, dan kebanyakan dari mereka adalah pemimpin-pemimpin HAMAS yang begitu tekad untuk merampas kembali bumi suci palestin dan mempertahankan kesucian al-quds(masjid Al-Aqsa). Antaranya adalah Syeikh Ahmad Yassin,merangkap Pendiri dan Tokoh Spiritual Hamas yang juga dikenali sebagai Bapa Intifada Palestin. InsyaAllah untuk post kali ini ingin saya kongsikan kisah berkaitan pejuang palestin ini. Kisah ini saya perolehi hasil bacaan dari sebuah buku yang bertajuk "Syeikh Ahmad Yassin",sebuah kisah yang telah membuka mata hati saya menjadikan Syeikh sebagai idola pemimpin Islam zaman ini. Diharap sahabat sekalian turut memperolehi manfaat dari kisah beliau ini.

Syeikh Ahmad Yassin dilahirkan dengan nama Ahmad Ismail Yassin di sebuah desa bernama Al-Jora di pinggiran Al-Mijdal, selatan Jalur Gaza pada tahun 1936.Ketika mengandungkan beliau, ibunya telah bermimpi akan melahirkan seorang anak yang bernama Ahmad dan berhajat untuk menamakan Ahmad ketika kelahiran beliau.Tetapi,telah ditentang oleh bapa beliau kerana ketika itu bapa beliau sedang bertengkar dengan seseorang yang bernama Ahmad........


Tanggal 15 Mei 1948,merupakan satu tarikh yang tidak mungkin boleh dilupai oleh anak-anak jati palestin dan umat islam seluruh dunia.Pada hari inilah merupakan nakhbah Palestin yang mana bermulanya pendudukan rejim zionis di bumi Palestin dan terbentuknya negara HARAM Israel!Dan saat itulah Syeikh Ahmad Yassin dan seramai 750,000 rakyat Palestin yang lain diusir dan terpaksa berpindah ke Gaza .Sejak hari itu,kesempitan keluarga terpaksa ditanggung oleh beliau sekeluarga hinggakan beliau terpaksa meninggalkan sekolah selama 3 tahun semata-mata untuk bekerja mencari wang demi menyara keluarganya yang ketika itu telah berpecah kepada dua.Keluarga Syeikh yang sebelum ini merupakan keluarga terkaya di kampungnya kini menjadi miskin.


Pada tahun 1952,iaitu ketika berumur 16 tahun,beliau telah terjatuh ketika bermain di tepi pantai bersama rakan-rakannya dan mengakibatkan tengkuk beliau patah.Peristiwa yang mengakibatkan kelumpuhan seumur hidup beliau ialah ketika beliau beriadah besama sahabat-sahabat dalam gerakan Ikhwanul Muslimin.Ketika itu mereka sedang membina `Menara Orang` dan beliau telah menjasi pasak kepada menara tersebut.Malangnya beliau terjatuh dan mengakibatkan beliau lumpuh seumur hidup.Syeikh yang dulunya dikenal sebagai pelajar yang cerdik dan aktif dalam sukan akhirnya menghabiskan sisa hidupnya dengan berkerusi roda.Namun,kelumpuhan beliau tidak pernah memadamkan semangat jihad beliau untuk berjuang demi bumi Palestin!


Pada tahun 1964,Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Ains Syams,tetapi malangnya tidak sempat untuk menghabiskan pengajiannya apabila dipenjara sebulan berikutan penglibatan beliau dalam gerakan Ikhwanul Muslimin.Setelah keluar dari penjara, beliau pulang ke Gaza dan telah bekerja sebagai guru Bahasa Arab dan Tarbiyah Islamiyah. Kemudian beliau bertugas sebagai khatib dan guru di masjid-masjid Gaza. Dalam tempoh penjajahan, beliau menjadi khatib paling popular di kalangan masyarakat Jalur Gaza kerana kekuatan argumennya dan keberaniannya dalam al haq (kebenaran). Menurut anaknya,tidak ada masjid di Gaza yang tidak pernah dikunjungi oleh beliau.


Selain itu, kisah menarik tentang Syeikh yang ingin saya kongsi ialah kisah ketika beliau di penjara yang patut kita contohi. Dalam hayat, beliau pernah dipenjara sebanyak 3 kali. Kali kedua ialah pada tahun 1983, Syeikh Ahmad Yasin ditangkap rezim Imperialis Israel atas tuduhan memiliki senjata, membentuk pasukan militer dan menyerukan pelenyapan eksistensi negara Yahudi. Kerananya, beliau dihadapkan ke mahkamah militer Israel dan dipenjara 13 tahun. Tetapi, pada tahun 1985, beliau dibebaskan dalam rangka pertukaran tahanan antara pihak rezim Imperialis Israel dengan PFLL (Front Rakyat untuk Pembebasan Palestina) - Pimpinan Umum, setelah terseksa 11 bulan dalam penjara rezim Imperialis Israel. Pada tahun 1987,bersama aktivis islam Palestin beliau telah menubuhkan Gerakan Perlawanan Islam"Hamas". Namun,pada tanggal 16 Oktober 1991, mahkamah militer Imperialis Israel mengeluarkan keputusan dengan memenjara Syeikh Ahmad Yasin berupa penjara seumur hidup ditambah 15 tahun atas 9 tuduhan. Di antaranya seruan (provokasi) penculikan dan pembunuhan seorang zionis, pendirian Gerakan Hamas serta sayap militer dan dinas keamanannya. Dalam tempoh ini, mengakibatkan beliau lumpuh seluruh badan kecuali kepala,pekak,kebutaan di mata kirinya dan lemah pandangan di mata kanannya serta masalah kesihatan beliau yang makin teruk. Ini semua adalah akibat daripada seksaan teruk di penjara Israel dan kurangnya rawatan ke atas masalah kesihatan beliau.


Namun,walaupun Syeikh Ahmad Yassin terpaksa menghadapi seksaan ketika di penjara,beliau tidak pernah mengaggap bahawa kehidupan di penjara merupakan suatu seksaan dan boleh menghalang beliau untuk berjuang demi bumi Palestin. Sebaliknya beliau menganggap bahawa kehidupan di penjara merupakan suatu nikmat dan memudahkan lagi beliau untuk menajamkan fikiran dan mendekatkan diri kepada Allah.Menurut Ziadah, salah seorang ahli gerakan Hamas yang turut dipenjara dan berkhidmat untuk Syeikh Ahmad Yassin sepanjang beliau dipenjara, setiap hari syeikh akan bangun 2 jam lebih awal sebelum subuh untuk bertahajjud. Selepas menunaikan solat subuh,beliau akan membaca Al-Quran sehingga masuk waktu dhuha dan selepas solat sunat dhuha, beliau akan pergi ke perpustakaan khas untuk membaca buku sehingga masuk waktu zohor. Setiap hari syeikh akan membaca 3 juzuk Al-Quran dan menghafal 1 juzuk. Setiap hafalan beliau akan diminta didengari dan disemak oleh ahli gerakan lain yang turut dipenjara. Selain itu,beliau juga disukai oleh pegawai penjara.

"Ketika bersama Syeikh Ahmad Yassin,saya tidak pernah nampak rupa atau sifat seorang pengganas pada syeikh,sebaliknya saya dapat merasai ketenangan.Mungkin inilah yang dirasai oleh ahli gerakan Hamas yang menaikkan semangat mereka untuk berjuang."
MasyaAllah..itulah Syeikh Ahmad Yassin!

Akhirnya,pada 1 Oktober 1997, beliau telah dibebaskan hasil rundingan pertukaran tawanan antara kerajaan Jordan dan rejim zionis.

Zionis tidak pernah berputus asa untuk membunuh beliau. Pernah pada satu hari(tahun 2003) rumah beliau roboh diebabkan bedilan helikopter Apache milik Israel, dengan kekuasaan dan pertolongan Allah s.w.t,beliau selamat dan hanya mengalami kecedaraan ringan.Tangal 22 Mac 2004,selepas menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Gaza dengan diiringi anaknya,Syeikh Ahmad Yassin telah mati syahid dengan dibunuh setelah 3 helikopter tentera zionis menyerang beliau dengan 3 peluru berpandu. Menurut anak beliau, Abdul Hamed dan Abdul Ghani,sebelum beliau dibunuh iaitu ketika berada di dalam masjid,mereka mengingatkan beliau bahawa kedengaran bunyi helikopter yang sedang memburu beliau..tetapi,syeikh menjawab:

"Biarlah.Memang sudah lama aku menanti mereka."

Begitulah semangat seorang mujahid yang sentiasa mengimpikan mati syahid dan tidak pernah takut pada musuhnya. Dengan keaadaan beliau yang berkerusi roda dan tidak mampu untuk berjuang di medan perang sepertimana dilakukan oleh pejuang Islam lain, namun keaadaan fizikal beliau tidak pernah menjadi penghalang untuk beliau beribadah kepada Allah s.w.t dan berjuang mendapatkan kembali bumi suci Palestin dari zionis yang kejam itu. Sekiranya beliau takut kepada zionis, sudah tentu beliau tidak akan bergerak ke sana-sini terutama sekali untuk menunaikan solat di masjid-masjid, sebaliknya hanya melindungi diri di tempat tertutup dari ancaman zionis.Tetapi,semangat beliau untuk mati syahid yang tinggi menyebabkan beliau sentiasa bergerak ke sana-sini walaupun sentiasa diingatkan oleh anak-anaknya tentang keselamatannya.


Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya merasa simpati apabila melihat keadaan syeikh yang berkerusi roda sebaliknya kita perlu merasa izzah dengan ciri-ciri pejuang Islam yang ditunjukkan oleh Syeikh Ahmad Yassin yang digeruni oleh zionis walaupun beliau lumpuh seluruh badan. Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat pancaindera yang Allah kurniakan kepada kita yang membolehkan kita menunaikan ibadah dengan sempurna,bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah serta mampu menghayati keindahan ciptaanNya melalui pancaindera kurniaanNya. Malangnya, ramai umat manusia zaman ini yang alpa dengan keseronokan serta kemewahan duniawi hinggakan pancaindera dan nikmat-nikmat kurniaan Ilahi tidak digunakan mengikut harakat yang sepatutnya. Akhirnya harakat manusia dan harakat alam buana semakin hilang keselariannya dan mengakibatkan dunia ini semakin rosak. Bayangkan sebuah mesin yang memiliki tiga gear untuk menggerakkan sistemnya. Sekiranya salah satu dari gear tersebut bergerak dalam arah yang bertentangan, pasti mesin itu tidak dapat berfungsi dan mengakibatkan kerosakan pada sistem tersebut. Begitulah yang terjadi ke atas dunia sekarang ini.


Sahabat sekalian, cuba kita fikirkan apakah yang menyebabkan pejuang-pejuang palestin begitu tekad mempertahankan kesucian bumi palestin ini? Ya, jawapannya sudah pasti aqidah yang tertanam dalam jiwa mereka. Bagaimana keyakinan mereka yang teguh terhadap pertolongan Allah serta pengahayatan dan kefahaman yang jitu terhadap setiap bait firman Allah dalam Al-Quran. Islam itu bukan bersifat kenegerian. Di mana sahaja jika terdapat umat manusia yang turut melafaz bait syahadah adalah menjadi tangunggjawab kita untuk sama mempertahankannya, terutama sekali bumi suci palestin. Bangunlah wahai saudara seislamku. Marilah sama-sama kita mengubah dunia yang semakin tenggelam dengan dunia yahudi. Bermulalah dengan membaiki "nilai keimanan" dalam diri kita yang semakin hari semakin luput dari sistem kehidupan. Bersatulah kerna Islam tidak akan menang selagi kita tidak bersatu menentang musuh-musuh agama Allah ini!

“Kebatilan yang tersusun dan terancang (bersistem) boleh mengalahkan hak atau kebenaran yang tidak tersusun dan terancang.”
(Imam Hassan Al-Banna)

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."(surah Ar-rad:11)
p/s: Teruskan berdoa demi kemenangan Islam dan memboikot produk keluaran yahudi.....!

rujukan:buku Syeikh Ahmad Yassin dan buku The Islamic Resistence Movement(HAMAS)



Muhasabah cintaku


Bismillahirrahmanirrahim...



Siang tadi sedang saya mencari-cari lagu untuk dijadikan lagu tema bagi daurah pada bulan hadapan, tiba-tiba terjumpa satu lirik lagu yang sangat menyentuh hati. Terus hati ini "jatuh cinta" pada lirik lagu yang diberi tajuk Muhasabah Cinta. Sama-sama hayati lirik lagu ini.

Manusia itu lemah dan pelupa. Hanya sekecil zarah nikmat yang Allah kurniakan, sukar untuk kita menghargainya saat ia menjadi milik kita. Namun saat ia hilang diambil kembali oleh Tuannya, tika itulah kita sedari ia adalah sebesar-besar nikmat.

MUHASABAH CINTA by Edcoustic

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu


"saat nikmat hilang dari tubuhmu....tiada guna lagi penyesalan"
"saat pintu taubat tertutup....sia-sia rayuanmu"





Influenza A(H1N1): Hikmah Larangan Allah s.w.t


Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang ukhti pada cuti musim bunga lepas,

"Perkara yang Allah haramkan sedikit aje berbanding dengan yang halal, banyak perkara halal Allah kurniakan pada manusia di dunia ini. Masakan Allah sebagai pencipta inginkan kesusahan ke atas hamba-hambaNya. Pasti banyak nikmat yang Dia kurniakan pada manusia agar mudah untuk mereka melaksankan tanggungjawab sebagai hambaNya di atas muka bumi ini.Tetapi, manusia tetap juga suka yang haram berbanding yang halal."

Dunia sekarang sedang dihujani dengan krisis penularan influenza A(H1N1) yang menjadi pembunuh senyap yang memulakan operasinya di Mexico, kini sudah sampai ke Jepun dan Malaysia sendiri. Dua minggu lepas saya hanya membaca melalui internet dan menonton berita-berita yang disiarkan di kaca TV mengenai penularan wabak ini yang telah menyebabkan 62 kematian, tetapi kini ianya sendiri telah sampai ke Kobe, tempat saya menuntut sekarang. Agak terkejut apabila menonton berita yang disiarkan dua hari lepas yang mana arahan untuk menutup sekolah-sekolah berhampiran selama seminggu termasuklah Kobe University. Perkara ini mengingatkan saya tentang kejadian 2 tahun lepas ketika penularan virus measles di Jepun yang menyebabkan universiti saya bercuti selama 2 minggu. Memang seronok dapat bercuti(^_^), tapi akhirnya bila sekolah dibuka kuliah-kuliah yang tertangguh terpaksa diganti waktunya pada hari sabtu...(terpaksalah bersekolah pada hari sabtu (=_=))


Penularan wabak kali ini agak lebih membimbangkan kerna ia berjangkit tanpa disedari, malah yang berjauhan dari pusat penternakan khinzir bahkan yang tidak memakannya pun boleh dijangkiti virus ini. Seperti mana yang difahamkan oleh para saintis dan pakar-pakar perubatan bahawa virus ini merebak melalui udara, tidak semestinya di kawasan kita ada khinzir baru boleh kena. Khinzir tak ada pun boleh kena, ini kerana udara yang membawanya.Virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung.
Manusia selalunya dijangkiti Influenza A (H1N1) melalui hubungan langsung dengan khinzir atau persekitaran yang dijangkiti virus ini. Namun ada juga kes yang dicatatkan di mana manusia yang dijangkiti virus ini tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan khinzir atau tiada kaitan dengan persekitarannya. Virus ini juga boleh berjangkit melalui manusia.
"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Baqarah:173)
Lihatlah apa yang sedang berlaku. Sejak dahulu lagi, Allah mengharamkan memakan daging khinzir, tapi manusia tetap menyukainya. Setiap laranganNya pasti ada sebab yang menyebabkan ia perlu dihindari. Sejak manusia pertama dijadikan sudah diperintahkan agar tidak memakan daging khinzir. Falsafahnya Allah SWT sukakan yang baik dan menyuruh manusia pilih yang baik. Oleh yang demikian Allah SWT melarang umat manusia daripada memakan perkara yang boleh mengundang mudarat kepada jiwa dan raga. Setiap suatu yang ditegah daripada memakannya pasti ada sebab musababnya. Allah SWT tidak menjadi suatu itu haram, melainkan ada mudaratnya dan menjadikan sesuatu itu halal pasti ada manfaatnya.

Mungkin pihak WHO sedang pening untuk mencari vaksin bagi virus terbaru ini. Tetapi, Islam ada penyelesaiannya. Allah yang menciptakan manusia dan makhluk yang lain, selaku pencipta apabila ciptaannya mengalami kerosakan atau kesakitan pasti Dia tahu penawarnya. Malangnya umat manusia tidak mahu mengembalikan ibu kunci kepada tukang pembuatya dan tidak mahu membawa orang sakit kepada penciptanya. Mereka tidak bertindak dalam urusan diri mereka seperti mereka bertindak dalam urusan mesin-mesin yang digunakan mereka dalam keperluan-keperluan seharian mereka. Manusia tahu jika mesin-mesin itu rosak, mereka akan memanggil mekanik kilang yang membuat mesin itu untuk membaikinya, tetapi mereka tidak menggunakan peraturan ini dalam usaha membetulkan manusia itu sendiri, iaitu dengan mengembalikan mereka kepada kilang yang mengeluarkan mereka dan tidak meminta petua dari Allah selaku pencipta yang telah menjadikan mesin-mesin manusia yang mengagumkan ini.
"Sesungguhnya Allah amat mengetahui segala isi hati. Apakah Allah yang telah menciptakan (kamu) tidak mengetahui (isi hati kamu), sedangkan Dialah Yang Maha Halus dan Maha Mendalam Ilmu-Nya."(Al-Mulk:13-14)
Manusia yang diciptakan Allah ini tidak dapat dibuka pintu fitrah yang tertutup itu melainkan dengan anak-anak kunci dari ciptaan Allah itu dan penyakit-penyakitnya tidak boleh diubati melainkan dengan penawar yang yang dicipta Allah s.w.t. Allah telah menyediakan di dalam sistem hidup yang diaturkan olehNya itu anak-anak kunci untuk membuka segala pintu yang tertutup dan penawar untuk mengubatkan segala penyakit. Di dalam Al-Quran hanya terdapat 2 perkataan "Syifa' " yang bermaksud ubat atau penawar iaitu dalam surah al-Isra yang mana Allah merujuk ubat untuk penyakit ruhi adalah Al-Quran dan ubat untuk penyakit fizikal adalah madu.
"Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang beriman."(Al-Isra:82)
"Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah,"Buatlah sarang di gunung-gunung, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibikin manusia, kemudian makanlah dari segala(macam) buah-buahan lalu tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan bagimu." Dari perut lebah itu keluar minuman(madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. "(An-Nahl:68-69)
Dari segi perubatan saya sendiri tidak ada pengetahuan mengenai hal ini, namun yang terbaik mohonlah petua dari pencipta kita. Sebenarnya penyakit yang paling teruk bagi manusia adalah apabila fitrah tertutup iaitu kufur. Malah sifat kufur yang terpalit kepada diri seorang muslim itu jugalah yang menyebabkan orang kafir tidak mengetahui tentang kebenaran Islam. Sekiranya seseorang itu selalu mendalami ilmu Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w, berkat hidayah dan rahmatNya, dengan izinNya fitrah yang tertutup itu sedikit-sedikit akan terbuka.
Penularan wabak yang membimbangkan seluruh dunia ini sebenarnya jika kita menjadi muslim yang berfikir, sebenarnya mungkin ada hikmah yang Allah ingin umat manusia mengambil iktibar dari apa yang terjadi. Allah telah mengharamkan secara pasti bahawa daging khinzir tidak boleh dimakan. Akibatnya tengoklah apa yang sedang kita alami sekarang. Bukan sahaja yang memakannya tetapi yang tidak memakannya turut menanggung kerisauan. Ingin saya kongsikan tentang ulasan Sayyid Qutb di sini:
“Adapun persoalan mengenai memakan daging babi diperdebatkan oleh sekumpulan manusia... babi itu sendiri bersifat kotor dan menjijikkan jiwa yang menuntut kebersihan dan kesucian, sesungguhnya pada dagingnya, pada darahnya, dalam perutnya ada cacing-cacing yang sangat merbahaya.

“Sedang manusia lupa bahawa ilmu mereka memerlukan tempoh yang cukup lama untuk mengesan satu kemudaratan daripadanya. Dalam masa yang sama siapa pula yang berani mendakwa tiada mudarat-mudarat lain yang membiak dan aktif dalam daging babi sedang belum diketahui oleh mereka yang bergelar pakar. Maka tidakkah mereka melihat bagaimana syariat Allah SWT mendahului kepakaran manusia sebelum puluhan kurun?” ( Sayyid Qutub, jld:1, hlm: 156).

Dunia perubatan pada hari ini juga telah membuktikan bahawa di dalam daging khinzir, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat berbahaya, cacing pita dan telur-telurnya yang keras yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya syariat Allah SWT yang mendahului ilmu pengetahuan manusia. Allah mengajak semua umat manusia untuk mencari yang halal yang lebih baik dan yang halal itu jugalah yang bertebaran di atas muka bumi ini. Seruan Allah ini bukanlah pada golongan mukmin sahaja bahkan untuk orang-orang kafir yang juga merupakan ciptaanNya. Ini memperlihatkan bahawa Allah itu bersifat Ar-Rahman, menyeru sesiapa sahaja kerna Dialah pencipta mereka dan Dia yang menunjukkan kepada manusia yang mana harus dimakan dan yang mana tidak boleh dimakan.
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Al-Baqarah: 168).
Allah telah menyediakan manual yang lengkap bagi manusia dalam meneruskan kehidupan mereka di atas muka bumi ini iaitu Al-Quran. Semua panduan dariNya tertulis lengkap dan kekal hingga akhirat kelak. Sekiranya umat manusia betul-betul menyedari tentang manual hidup mereka ini pasti masalah seperti ini dapat dielakkan. Teruskanlah peranan kita sebagai muslim dengan mencari yang halal dan menyampaikan kepada umat manusia yang tidak mengetahui kebenarannya kerna yang haram itu hanya sedikit dan yang halal itu tidak terhitung dek akal. Satu hikmah tersirat yang ingin saya kongsikan yang mungkin tidak ramai yang menyedarinya. Penularan wabak ini menunjukkan juga bahawa masih ramai umat manusia yang tidak mengetahui tentang kebenaran larangan Allah dan menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk melaksankan tugas sebagai "wakil" kepada agama Allah untuk menyeru manusia kepada kebenaran. Peluang berada di di bumi kafir ini jadikanlah sebagai peluang untuk kita menyampaikan Islam kepada umat manusia bukan sahaja dengan memelihara ibadah tetapi dari segi keutuhan kita mencari yang halal dan ketrampilan peribadi sebagai muslim kerna beradanya kita di sini bukanlah hanya sebagai duta kecil kepada negara tetapi juga duta kecil kepada agama kita yang mana tidak ramai yang menyedari hakikatnya.
Semoga iman kita sentiasa terpelihara dan dilindungi dari sebarang kemaslahatan.
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."(An-Nahl:125)

"Mohon kepada Allah keselamatan dan afiat (kesihatan). Sesungguhnya tiada sesuatu pemberian Allah sesudah iman lebih baik daripada kesihatan." (Hadis riwayat Ibnu Majah)


p/s:Bilangan yang disahkan dijangkiti virus ini kini telah meningkat ke angka 126 orang(78 dari kobe dan 48 dari osaka) hanya dalam tempoh 48 jam. Buat warga kobe dan osaka, jangan seronok cuti jek. Jaga diri sama ye...Ingat pesanan embassy dan sekolah....elakkan dari pergi ke bandar-bandar besar yang ramai orang terutamanya Sannomiya...(^_^).Kalau ade sympton seperti suhu badan melebihi 38 celcius, ada batuk/selsema, dan badan rasa lemah-lemah, cepat-cepat call health center! Jangan lupe pakai mask gak. Nak mask free boleh mintak sama kak wannur kite..hihi(^_~)...Sekian, selamat bercuti...semoga Allah lindungi kita semua=)



Info berkenaan roti 7Eleven di sekitar kobe


Bismillahirrahmanirrahim....

Berdasarkan post saya yang lepas,di sini terdapat sedikit info berkenaan roti 7 Eleven yang terdapat di sekitar kawasan hyogo/kobe yang ingin saya kongsikan bersama setelah menghubungi pihak pengeluar di sini(079-4640711).

  1. メロンパン(melon pan)
    動物性油脂(豚)あり
    アルコール無し
  2.バタースコッチ(butter scotch)
    動物性無し
    アルコールあり(使用しているエタノールはわずかでエタノールに香料を溶かすため)
  3.ツナマヨネーズ(tuna mayonaise)

     動物性油(牛脂)
    アルコール無し

Merujuk kepada kenyataan di atas, kandungan bahan mentah yang digunakan dalam melon pan dan tuna mayonaise mengandungi sumber dari haiwan. Manakala bagi butter scotch bebas dari sumber haiwan tetapi mengandungi ethanol dengan kandungan yang sangat sedikit. Saya berpendapat tiada masalah dalam penggunaan alkohol etil dalam roti ini berdasarkan tujuan penggunaannya dan juga dengan nisbah yang sedikit. Sila rujuk link ini untuk penjelasan lebih lanjut berkenaan penggunaan alkohol dalam makanan.

Selain itu, terdapat juga roti-roti lain yang dijual di 7 Eleven sekitar kobe/hyogo yang bahan mentahnya dari sumber tumbuhan dan bebas dari penggunaan alkohol:
  1. ツナポテトサラダスティック(tuna potato salad stick)>(klik sini untuk gambar)
  2. 卵サラダスティック(egg salad stick)>(klik sini untuk gambar)
  3. つぶあんパン(red bean bread)>(klik sini untuk gambar)
  4. もちもちチーズ(mochi mochi cheese)>(klik sini untuk gambar)
  5. クリームパン(krim bread)>(klik sini untuk gambar)
  6. クロワッサン(croissant)>(klik sini untuk gambar)
*InsyaAllah saya akan update berkenaan roti たっぷりこんマヨネーズ(tappuri corn mayonaise) dan 一口フレンチトースト(french toast) kemudian. Buat masa sekarang masih menanti jawapan dari pihak pengeluar tersebut.^_^

Sebelum ini saya juga pernah bertanya kepada pihak pengeluar di nagoya, ternyata melon pan, butter scotch dan tuna mayonaise keluaran pengilang di sana mengandungi sumber lemak haiwan. Walaubagaimanapun masih terdapat roti-roti lain yang menggunakan sumber dari tumbuhan seperti ツナポテトサラダスティック、たまごサラダスティック、もちもちチーズ、クリームパン、とろりクリームパン、たっぷりこんマヨネーズ、つぶあんパン dan シュガーデニシュ. Namun, berkenaan penggunaan alkohol tidak dapat dipastikan. Bagi yang tinggal di nagoya, bolehlah terus menghubungi pihak pengeluar di nagoya untuk kepastian(056-8931711).

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang bercanggah, tegurlah saya=)
Wallahua'lam.....

" fa amma bini`mati robbika fahaddits "
maka sebarkanlah ni`mat yang Tuhanmu berikan kepadamu.....

Status メロンパン(Melon Pan) 7Eleven


Bismillahirrahmanirrahim...

Ramai di kalangan pelajar malaysia di sini(jepun) yang gemar memakan melon pan keluaran kombini 7 Eleven. Sebelum ini, saya pernah bertanya seorang kakak indonesia melalui blog beliau berkenaan roti ini. Boleh klik link ini jungjungbuih .Alhamdulillah maklumat yang beliau perolehi mengatakan bahan-bahan yang digunakan adalah dari hasil tumbuhan.
Tetapi, baru-baru ini saya ada terbaca di blog seorang sahabat, yang mana sahabat kepada sahabat saya ini pernah bertanya berkenaan kandungan roti ini, dan katanya mengandungi lard(ラード由来). Maka untuk mendapatkan kepastian, saya bertanya terus kepada pihak 7 eleven melalui e-mel. Berikut adalah reply yang saya perolehi(saya turut bertanya mengenai kandungan ツナマヨネーズ(tuna mayonaise) dan バタースコッチ(butter scotch):
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Soalan:

私は宗教、健康上で、商品に商用されている成分に対して限りがありますので、セブンイレブンの焼き立てパンの商品に使用されている成分において聞きたいことがあります。焼きたてパンの商品(例えば:メロンパン、バタースコッチ、ツナマヨネーズなど)に使用されている乳化剤、ショー トニング、マーガリン、グリセリンに動物性(乳、卵、魚由来を除く)を含まれますか?
また、アルコール(酒)を含まれますか?
ご協力、心から感謝します。

Jawapan:

NUR IDAYU AYOB様

メール拝見させていただきました。日頃からセブン-イレブンを
ご利用いただきまして、誠にありがとうございます。

「焼きたてパンの原材料」に付いてお問い合わせの件、下記の通
りお答えさせていただきます。
製造メーカーに確認しましたのでご報告いたします。

メロンパン
 ・アルコール使用無し
 ・動物性油脂(ラード)の使用あり

【バタースコッチ】
 ・アルコール使用無し
 ・動物由来無し

【ツナマヨネーズ】
 ・アルコール使用無し
 ・動物性由来無し

商品ごとの確認は出来るのですが、突然の変更や地区毎の違い
等あるため、絶対的な保障にするものではありません。
商品ごとの内容については焼立てパンの包装の裏のシールにフリ
ーダイヤルにて地区の工場の連絡先がございます。ご心配の商品
はお問合せ下さい。

以上ご返事させていただきます。これからも引き続きセブン-イ
レブンをご愛顧下さいますようお願い申し上げます。
------------------------------
 株式会社 セブン-イレブン・ジャパン お客様相談室:田中
郵便番号 102-8455 東京都千代田区二番町8番地8
 ダイヤルイン・03-6238-3746
------------------------------------------------------------------------------------------------


melon pan(メロンパン)

butter scotch(バタースコッチ)

tuna mayonaise(ツナマヨネーズ)

Berdasarkan kepada jawapan yang diberikan oleh pihak 7 Eleven, terdapat penggunaan sumber haiwan dalam melon pan, manakala bagi butter scotch dan tuna mayonaise tiada penggunaan sumber haiwan dan alkohol dalam kandungan bahan mentahnya.
Tetapi, memandangkan terdapat perubahan penggunaan bahan mengikut pengilang bagi kawasan yang berlainan di jepun, dinasihatkan agar menghubungi talian nombor pengilang yang tertera di bahagian belakang "seal/sticker" pada setiap bungkusan untuk pengesahan yang lebih tepat.

Berkenaan 食パン 7 eleven boleh merujuk kepada link ini: infohalalIPIJ
InsyaAllah jika ada sebarang maklumat terbaru lagi saya akan maklumkan di sini. Semoga bermanfaat buat semua.
Wallahua'lam....

"Hai manusia ,makanlah apa-apa yang dibumi yg halal lagi baik dan janganlah kamu ikut langkah syaitan . Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.."
(Surah Al-Baqarah: ayat 168)


Sometimes people change....


Bismillahirrahminirrahim...

Seharian fikiran saya dibelenggu dengan satu isu yang saya sendiri masih sukar nak terima. Saya bukan jenis blogger yang suka berbincang tentang isu semasa, apatah lagi isu dunia hiburan. Tetapi, kali ini hati saya begitu tertarik untuk berkongsi tentang sesuatu yang pada saya mungkin kita dapat fikirkan hikmah di sebalik apa yang telah berlaku(bukannya untuk berkata yang tidak elok tentang insan lain).Moga Allah memberkati niat murni saya ini:)

Pagi semalam, tengah dalam mood kemalasan untuk ke lab ( sensei@lecturer plak tak datang hari ni..heheh), tetiba saya terjumpa satu video di youtube berkenaan seorang bekas vokalis kumpulan nasyid yang amat saya minati suatu ketika dahulu, yang juga bekas pelajar SMAP Kajang dan kini menyandang profesion doktor. Jika di sekolah dan di pusat persediaan(Ambang Asuhan Jepun) dahulu, saya memang terkenal dengan seorang yang amat meminati nasyid. Tanya sahaja apa-apa jenis lagu, pasti saya tahu tajuk lagu nasyidnya=)
Banyak koleksi album artis nasyid yang saya miliki. Tapi, itu semua cerita di zaman sekolah. Sejak mula menuntut ilmu di bumi asing ini, minat saya masih kepada irama nasyid, tapi saya lebih gemar mendengar lagu-lagu nasyid dendangan artis luar negara, terutamanya yang berbahasa inggeris dan arab. Mungkin kebanyakannya lebih banyak menyentuh hati tentang nilai ketuhanan dan penghambaan padaNya.

Opps!Terlari dari tajuk cerita plak. Baiklah, berbalik kepada video yang saya jumpa itu. Pada mulanya saya agak terkesima dengan tajuk video tersebut. Baca tajuk sahaja, hati saya sudah merasakan suatu yang pelik dan seperti dibuat-buat cerita. Yelah, cerita di alam maya nih, bukannya semua boleh dipercayai. Untuk memastikan kandungannya, saya pun klik pada tajuk video tersebut.Sukar untuk dipercayai apabila menonton video berkaitan bekas vokalis kumpulan nasyid yang terkenal suatu ketika dahulu, kini sudah berubah. Sangat berbeza penampilannya dan perawakannya dalam audition rancangan realiti TV tersebut berbanding seorang yang berdakwah melalui nasyid suatu ketika dahulu. Saya cuba untuk husnuzon(bersangka baik). Banyak komen yang saya baca di youtube dan blog semata-mata untuk memastikan kesahihan berita tersebut. Ternyata perkara lain yang dapat saya simpulkan; masih ramai lagi manusia di luar sana yang inginkan kebaikan(Islam) tetapi bilangannya amat sedikit,masih ramai lagi yang suka mentertawakan kesalahan orang lain(gol.lalai), masih ramai yang tidak tahu jalan terbaik untuk memimpin manusia ke pangkal jalan(gol. tidak tahu), dan golongan ini sangat ramai.

"Ya Allah, ternyata tangunggjawab ini sangat berat!Bimbinglah daku dan sahabat-sahabat yang lain agar terus thabat di jalanMu ini dalam menjadi sebab untuk manusia meraih hidayahMu demi menggapai redhaMu."

Alhamdulillah, petunjuk Allah membawa saya kepada blog salah seorang ahli kumpulan nasyid tersebut dan penjelasan yang diberikan memberi sedikit jawapan kepada persoalan yang timbul dalam benak fikiran saya. Diharap Allah terus beri kekuatan kepada beliau untuk memimpin sahabat lamanya itu kembali ke pangkal jalan.
Moga Allah mengurniakan hidayahNya pada doktor tersebut. Sungguh Dia lebih mengetahui hal sebenar. Sama-samalah kita terus berdoa.

"Ya Allah, sesungguhnya hanya engkaulah Maha Mengetahui segala apa yang terjadi ke atas hamba-hambaMu. Ampunilah kami atas kedhaifan kami dalam mengenal cintaMu. Ampunilah kami atas kegagalan kami menepis godaan syaitan dan nafsu. Sungguh hanya engkau Maha Pengampun Maha Penyayang. Bimbinglah kami ke jalan yang direhaiMu. Berilah hidayahMu pada hamba-hambaMu yang masih mendambakan bimbinganMu. Tiada yang lebih indah melainkan penghambaan terhadap ketulusan kasihMu. Perkenankanlah doa kami. Amin ya rabballa'lamin. "

Dalam hidup ini selaku hambaNya, kita tidak akan terlepas dari menerima pelbagai ujian. Setiap insan tidak akan terlepas dari ujian walaupun sekecil zarah ujian yang diterimanya. Semakin tinggi tahap keimanan, semakin tinggi tahap ujian yang diterima. Itulah tanda kasihnya Allah pada hambaNya. Kisah di atas sebaliknya banyak menyedarkan saya akan nikmat hidayah yang saya miliki sekarang. Terutama sekali ketika menuntut ilmu di bumi kafir ini. Seperti dalam post saya sebelum ini berkenaan siku-siku kehidupan, kisah kali ini membuat saya sering terfikir apakah jalan yang akan lalui di masa akan datang?Jauh dari terus berfikiran negatif, saya nasihatkan diri agar terus berdoa dan dekatkan diri padaNya agar diri ini sentiasa terpilih untuk terus berada di jalan ini. Allah s.w.t itu Maha Berkuasa. Bila-bila masa sahaja Dia mampu menarik kembali nikmat-nikmat yang dikurniakan pada hamba-hambaNya.
Katakanlah(Muhammad),"Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan siapapun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."(Al-Imran: 26)
Sentiasalah mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan pada kita walaupun pada padangan kita, ia tidak bernilai sekalipun. Saat Allah mengambilnya kembali dari kita, barulah kita menyedari kepentingannya, dan saat itu tiada siapa yang mampu menghalang kekuasanNya. Bayangkanlah nikmat oksigen yang Allah kurniakan sekarang, tiba-tiba dikurangkan menjadi 19%(asalnya 21%), mampukah seluruh makhluk di muka bumi ini terus bernafas??Renungkanlah.
Berhentilah mengata soal kesilapan insan lain kerna tiada insan yang sempurna di muka bumi ini, sebaliknya cerminlah kembali diri kita dan jadikanlah ia sebagai pedoman buat diri kita yang turut lemah dalam menghadapi mehnah(ujian) duniawi. Moga kasih sayang Illahi sentiasa bersama dalam setiap saat helaan nafas kita.
‘’Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah - Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengatahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Rabb mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.'’ (Ali-Imran:133-136).

Mari sama-sama kita hayati lirik lagu ini:)