Kembalilah padaNya...


Manusia biasa itu tidak dapat lari dari melakukan pelbagai kesalahan terhadap penciptaNya lantaran fitrah manusia itu lemah, memiliki nafsu dan syaitan yang akan sentiasa menjadi penggodanya selagi bernafasnya dia di atas muka bumi ini. Begitulah kita, hanyalah makhlukNya yang dijadikan dari tanah yang lagi hina tetapi dimuliakan dengan ditiupkanNya ruh ke dalam jasad kita ketika proses penciptaan manusia. MasyaAllah... Allah jadikan kita dari setinggi-tinggi dan serendah-rendah perkara. Ketika Allah ingin mengambil tanah untuk mencipta manusia, Allah utuskan satu-persatu malaikat untuk berjumpa dengan tanah, tetapi semua tanah tidak mahu kerna mereka tahu bahawa manusia akan membuat kerosakan di Bumi nanti. Sehinggalah saat Allah mengutuskan malaikat Izrail, semua tanah tetap mengatakan perkara yang sama.
Malaikat Izrail:"Allah telah utuskan aku untuk mengambil kamu bagi mencipta manusia."
Tanah:"Kami tidak mahu.Pasti manusia akan melakukan kerosakan di Bumi nanti."
Malaikat Izrail:"Aku tidak kira. Allah lagi aku takuti dari kamu.Aku akan tetap mengambil kamu."
Sahabatku, kerna itulah di saat kematian kita nanti malaikat Izrail diperintahkan untuk mencabut nyawa kita. Tanah sendiri mengakui bahawa manusia itu akan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Ternyata semuanya terjadi sepertimana yang kita lihat sekarang. Tujuan Allah jadikan kita daripada tanah supaya kita tidak merasa sombong di atas muka bumi. Tetapi lihatlah apa yang terjadi sekarang. Manusia merasakan bahawa mereka adalah raja bumi ini. Langsung tidak memikirkan makhluk-makhluk lain yang turut hidup mengikut sunnatullah seperti manusia, malah kepatuhan mereka terhadap Allah mengatasi manusia itu sendiri.
Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat,"Sungguh Aku akan menciptakan manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan (kejadian)nya, dan Aku telah meniupkan ruh ciptaanKu ke dalamnya, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud(sebagai penghormatan)."(Al-Hijr:28~29)
Ingatlah bahawa kita ini asalnya hanyalah dari tanah dan dengan tiupan ruh Allah muliakan kita. Ruh itu dari Allah yang kudus.Bayangkan tanpa ruh,tidak mungkin akan sempurna kejadian kita. Lihatlah, betapa Allah menyayangi kita. Kita lebih istimewa berbanding makhluk lain. Tetapi, kita sering lupa akan sayangnya Allah pada kita. Kita lebih gemar melakukan perkara-perkara yang dilarangNya yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Keseronokan dunia, hiburan, pangkat dan segala nikmat di dunia ini lebih indah di mata kita. Kita sering takut akan kehilangan pangkat yang kita miliki, kekayaan yang kita perolehi dan sebagainya. Setiap saat kita hanya memikirkan bagaimana untuk menambah sumber kewangan, bagaimana untuk mencantikkan diri serta bagaimana untuk menghiburkan diri yang kebosanan. Malangnya, jarang sekali setiap saat kita berfikir bagaimana untuk mendekatkan diri pada pencipta kita atau bagaimana untuk menambah amal ibadat kita serta meningkatkan kualiti ibadah kita. Manusia lupa Tuhannya, lupa tujuan hidupnya lantaran terlalu mengejar duniawi. Sedangkan ketenangan dan kebahagiaan yang abadi adalah ketika manusia itu kembali kepada penciptaNya.

Sahabatku,

Allah tidak kisah semua itu kerna Dia tidak akan rugi biarpun hambaNya melupaiNya. Tetapi, walaupun kita sering lupa akan Dia yang sentiasa mengawasi kita, walaupun dosa kita menggunung sekalipun, walau sejahil mana diri kita di masa silam, Allah bersedia menerima kembali hamba-hambaNya yang ingin bertaubat. Subhanallah...betapa kasih sayang Allah itu tidak bertepi. Siang malam dia menunggu hamba-hambaNya kembali kepadaNya.
"Sungguh Allah membentangkan tanganNya setiap malam agar orang yang berbuat kejahatan di siang hari mahu bertaubat. Dan Dia juga membentangkan tanganNya di siang hari agar orang yang berbuat kejahatan di malam hari mahu bertaubat."
(HR Imam Muslim dan Ahmad)
Sahabatku, apakah kita tahu, siapa Rabb kita? Apakah kita merasakan kebesaran, kasih sayang dan makrifat Allah dengan hambaNya?Mari kita amati hadith qudsi ini;
"Wahai Bani Adam, kalian tidaklah (sungguh-sungguh) berdoa dan mengharap padaKu, Aku akan mengampuni dosa-dosa kalian dan Aku tidak peduli. Wahai Bani Adam, jikalau dosa kalian mencapai awan di langit, lalu kalian minta ampun padaKu, Aku akan mengampuni kalian, dan Aku tidak peduli. Wahai Bani Adam, jikalau kalian datang padaKu dengan dosa sebesar ukuran bumi, tetapi kemudian kalian mendatangiKu dengan tanpa berbuat syirik padaKu, maka Aku akan mendatanganimu dengan ampunan sebesar itu pula."(HR At-Tirmidzi)
Subhanallah..kasih sayang Allah mendahului kemurkaanNya. Tiada kasih sayang insani yang mampu menandingi kasih sayang Ilahi. Sungguh Allah itu Maha penyayang lagi Maha Pengampun. Sayangnya Allah pada kita kerna Dia tidak mahu ciptaanNya merosakkan dirinya sendiri. Bayangkan seorang jurutera yang mencipta robot. Pasti dia tidak mahu ciptaannya rosak. Pasti disayanginya dan dijaga setiap hari agar dapat berfungsi dengan baik. Sahabatku, begitulah juga Allah selaku pencipta kita. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jadi, mengapa kita perlu mengingkari perintahNya? Dia telah membentangkan tangannya siang dan malam, menanti hambaNya kembali kepadaNya, tetapi mengapa kita masih menyombongkan diri untuk kembali padaNya?Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah.......

Saya akhiri entry kali ini dengan sebuah kisah taubat seorang tabi'in yang begitu indah sekali. Moga sahabat semua turut merasai kesannya di hati sepertimana yang saya rasai ketika pertama kali membaca kisah ini. Kisah taubat seorang tabi'in bernama Malik Bin Dinar...

*******************************************************************************
Siapa Malik bin Dinar?

Beliau adalah seorang Tabi'in, dan dikenali kerna selalu menangis sepanjang malam sambil berkata,
"Ya Rabbku, Kau sendirilah yang tahu penghuni syurga dari penghuni neraka, lalu aku termasuk yang mana? Ya Allah, jadikanlah aku dari penghuni syurga, dan jangan Kau jadikan aku dari penghuni neraka."
Perhatikanlah ibadahnya! Inilah Malik bin Dinar. Tapi, di awal hidupnya beliau tidak memiliki ketaqwaan seperti ini. Beliau berkata, "Aku memulai hidupku dengan sia-sia, banyak minum dan banyak berbuat maksiat. Aku berbuat zalim pada manusia, aku melakukan kezaliman. Tiada maksiat yang tidak kulakukan. Aku sangat jahat, sehingga manusia menjauhiku."

Apakah Malik bin Dinar seperti itu? Ya, dulu beliau seperi itu. Lalu beliau berkata lagi,
"Tapi di suatu hari, aku ingin menikah dan memiliki anak. Maka aku pun menikah dan isteriku melahirkan anak yang kuberi nama Fatimah. Aku sangat mencintainya. Setiap kali Fatimah bertambah besar, imanku pun bertambah dan maksiatku berkurang. Mungkin Fatimah tahu kalau aku memegang botol khamr, lalu ia mendekat padaku,aku menjauhkan botol itu darinya, sedang ia baru berusia 2 tahun. Seakan Allah menjadikan ia melakukan itu. Setiap kali Fatimah bertambah besar, imanku pun bertambah. Dan semakin aku selangkah lebih dekat dengan Allah, maka aku sedikit demi sedikit jauh dari maksiat, hingga usia Fatimah genap 3 tahun."

"Ketika usianya 3 tahun, ia mati......".
"Maka hidupku berubah menjadi lebih teruk dari dahulu. Aku belum memiliki kesabaran orang yang beriman yang menguatkanku menerima bala', sehingga syaitan mempermainkanku. Sehingga datang suatu hari, maka ia berkata,"Mabuklah kau yang mana kau belum pernah mabuk seperti itu sebelumnya.....".Maka aku pun ingin mabuk, aku ingin minum khamr, sehingga aku minum semalaman."

"Lalu aku bermimpi yang menebus kesedaranku. Aku bermimpi melihat diriku pada hari kiamat. Ketika matahari menjadi gelap, lautan berubah menjadi api, bumi bergoncang, dan manusia berkumpul di hari kiamat, manusia berbondong-bondong, aku bersama manusia, aku mendengar ada yang menyeru,"Fulan bin Fulan kemarilah menghadap pada Yang Maha Berkuasa."

"Aku lihat wajah Fulan bin Fulan itu berubah menjadi hitam kerana ketakutan. Sehingga aku mendengar si penyeru itu memanggil Malik bin Dinar. Manusia di sekelilingku hilang, seakan tidak ada orang di bumi Masyar itu. Lalu aku melihat ular besar lagi ganas berjalan ke arahku sambil membuka mulutnya. Aku pun berlari ketakutan, hingga aku menemukan lelaki tua lagi lemah dan aku berkata,'Tolonglah aku dari ular itu.'Ia berkata,'Anakku, aku lemah, aku tidak bisa menolongmu, tetapi larilah ke arah ini mungkin kau akan selamat'."

"Aku pun lari ke arah yang ia tunjukkan. Ular berada di belakangku, dan di depanku neraka. Maka aku pun berkata,'Apakah aku akan lari dari ular dan jatuh ke neraka?' Aku pun segera kembali lari dan ular semakin mendekatiku, aku kembali kepada lelaki lemah itu sambil berkata, 'Selamatkanlah aku, tolonglah aku.' Ia pun menangis kasihan pada keadaanku, lalu berkata,'Aku lemah seperti yang kau lihat, aku tidak mampu melakukan apa-apa, tetapi larilah ke gunung itu mungkin kau akan selamat'."

"Aku pun lari ke gunung dan ular akan menyambarku. Lalu aku lihat di puncak bukit itu anak-anak kecil, mereka berteriak, 'Wahai Fatimah, temuilah bapamu, temuilah bapamu!'."

"Aku pun tahu kalau itu anakku. Aku gembira kerna anakku yang mati di usia 3 tahun menolongku, mengambil tanganku dan mengusir ular itu dengan tangan kirinya, sedang aku seperti mayat kerana takut. Lalu aku pun duduk di kamarku seperti aku duduk di dunia, dan ia berkata, 'Wahai bapaku, "Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah..."(Al-Hadid:16)".

"Aku bertanya, 'Wahai anakku, beritahulah padaku tentang ular itu'. Ia menjawab, 'Itu adalah amalmu yang buruk, kau besar-besarkan dan kembangkan, sehingga ia hampir memakanmu. Bukankah kau tahu wahai bapaku, bahawa amal di dunia akan berubah memiliki jasad di hari kiamat?'."

"Aku bertanya lagi, 'Dan lelaki lemah itu?'. Ia menjawab,'Itu adalah amal solehmu. Kau lemahkan dia, sehingga ia menangis melihat keadaanmu, dan ia tidak mampu melakukan sesuatu. Sekiranya kau tidak melahirkan aku, dan aku mati ketika masih kecil, tentu tidak ada yang bermanfaat bagimu'."

"Aku pun terbangun dari tidurku sambil berteriak, 'Telah datang, wahai Tuhanku,...telah datang, wahai Tuhanku..."Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah....".

"Aku pun mandi dan keluar untuk solat subuh, aku ingin bertaubat, kembali pada Allah s.w.t."
Beliau bercerita lagi, "Ketika aku masuk masjid, sang imam sedang membaca ayat al-quran yang sama,
"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah...."(Al-Hadid:16)
Malik bin Dinar pun bertaubat, hingga beliau terkenal setiap hari duduk di depan masjid sambil berkata,
"Wahai hamba yang bermaksiat, kembalilah pada majikanmu. Wahai hamba yang lalai, kembalilah pada majikanmu. Wahai hamba yang lari, kembalilah pada majikanmu, majikanmu menyeru setiap malam dan siang hari sambil berkata, 'Siapa yang mendekat padaKu sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta, lalu siapa yang mendekatiKu sehasta, maka Aku akan mendekatinya satu depa, dan siapa yang mendekatiKu sambil berjalan, maka Aku akan mendekatinya sambil berlari kecil.'(HR Bukhari dan Muslim)......."
Semoga Allah s.w.t memberi kita semua nikmat taubat.InsyaAllah..=)

"Wahai jiwa yang tenang!Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,dan masuklah ke dalam syurga-Ku."(Al-Fajr:27-30)

0 comments: