Influenza A(H1N1): Hikmah Larangan Allah s.w.t


Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang ukhti pada cuti musim bunga lepas,

"Perkara yang Allah haramkan sedikit aje berbanding dengan yang halal, banyak perkara halal Allah kurniakan pada manusia di dunia ini. Masakan Allah sebagai pencipta inginkan kesusahan ke atas hamba-hambaNya. Pasti banyak nikmat yang Dia kurniakan pada manusia agar mudah untuk mereka melaksankan tanggungjawab sebagai hambaNya di atas muka bumi ini.Tetapi, manusia tetap juga suka yang haram berbanding yang halal."

Dunia sekarang sedang dihujani dengan krisis penularan influenza A(H1N1) yang menjadi pembunuh senyap yang memulakan operasinya di Mexico, kini sudah sampai ke Jepun dan Malaysia sendiri. Dua minggu lepas saya hanya membaca melalui internet dan menonton berita-berita yang disiarkan di kaca TV mengenai penularan wabak ini yang telah menyebabkan 62 kematian, tetapi kini ianya sendiri telah sampai ke Kobe, tempat saya menuntut sekarang. Agak terkejut apabila menonton berita yang disiarkan dua hari lepas yang mana arahan untuk menutup sekolah-sekolah berhampiran selama seminggu termasuklah Kobe University. Perkara ini mengingatkan saya tentang kejadian 2 tahun lepas ketika penularan virus measles di Jepun yang menyebabkan universiti saya bercuti selama 2 minggu. Memang seronok dapat bercuti(^_^), tapi akhirnya bila sekolah dibuka kuliah-kuliah yang tertangguh terpaksa diganti waktunya pada hari sabtu...(terpaksalah bersekolah pada hari sabtu (=_=))


Penularan wabak kali ini agak lebih membimbangkan kerna ia berjangkit tanpa disedari, malah yang berjauhan dari pusat penternakan khinzir bahkan yang tidak memakannya pun boleh dijangkiti virus ini. Seperti mana yang difahamkan oleh para saintis dan pakar-pakar perubatan bahawa virus ini merebak melalui udara, tidak semestinya di kawasan kita ada khinzir baru boleh kena. Khinzir tak ada pun boleh kena, ini kerana udara yang membawanya.Virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung.
Manusia selalunya dijangkiti Influenza A (H1N1) melalui hubungan langsung dengan khinzir atau persekitaran yang dijangkiti virus ini. Namun ada juga kes yang dicatatkan di mana manusia yang dijangkiti virus ini tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan khinzir atau tiada kaitan dengan persekitarannya. Virus ini juga boleh berjangkit melalui manusia.
"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Baqarah:173)
Lihatlah apa yang sedang berlaku. Sejak dahulu lagi, Allah mengharamkan memakan daging khinzir, tapi manusia tetap menyukainya. Setiap laranganNya pasti ada sebab yang menyebabkan ia perlu dihindari. Sejak manusia pertama dijadikan sudah diperintahkan agar tidak memakan daging khinzir. Falsafahnya Allah SWT sukakan yang baik dan menyuruh manusia pilih yang baik. Oleh yang demikian Allah SWT melarang umat manusia daripada memakan perkara yang boleh mengundang mudarat kepada jiwa dan raga. Setiap suatu yang ditegah daripada memakannya pasti ada sebab musababnya. Allah SWT tidak menjadi suatu itu haram, melainkan ada mudaratnya dan menjadikan sesuatu itu halal pasti ada manfaatnya.

Mungkin pihak WHO sedang pening untuk mencari vaksin bagi virus terbaru ini. Tetapi, Islam ada penyelesaiannya. Allah yang menciptakan manusia dan makhluk yang lain, selaku pencipta apabila ciptaannya mengalami kerosakan atau kesakitan pasti Dia tahu penawarnya. Malangnya umat manusia tidak mahu mengembalikan ibu kunci kepada tukang pembuatya dan tidak mahu membawa orang sakit kepada penciptanya. Mereka tidak bertindak dalam urusan diri mereka seperti mereka bertindak dalam urusan mesin-mesin yang digunakan mereka dalam keperluan-keperluan seharian mereka. Manusia tahu jika mesin-mesin itu rosak, mereka akan memanggil mekanik kilang yang membuat mesin itu untuk membaikinya, tetapi mereka tidak menggunakan peraturan ini dalam usaha membetulkan manusia itu sendiri, iaitu dengan mengembalikan mereka kepada kilang yang mengeluarkan mereka dan tidak meminta petua dari Allah selaku pencipta yang telah menjadikan mesin-mesin manusia yang mengagumkan ini.
"Sesungguhnya Allah amat mengetahui segala isi hati. Apakah Allah yang telah menciptakan (kamu) tidak mengetahui (isi hati kamu), sedangkan Dialah Yang Maha Halus dan Maha Mendalam Ilmu-Nya."(Al-Mulk:13-14)
Manusia yang diciptakan Allah ini tidak dapat dibuka pintu fitrah yang tertutup itu melainkan dengan anak-anak kunci dari ciptaan Allah itu dan penyakit-penyakitnya tidak boleh diubati melainkan dengan penawar yang yang dicipta Allah s.w.t. Allah telah menyediakan di dalam sistem hidup yang diaturkan olehNya itu anak-anak kunci untuk membuka segala pintu yang tertutup dan penawar untuk mengubatkan segala penyakit. Di dalam Al-Quran hanya terdapat 2 perkataan "Syifa' " yang bermaksud ubat atau penawar iaitu dalam surah al-Isra yang mana Allah merujuk ubat untuk penyakit ruhi adalah Al-Quran dan ubat untuk penyakit fizikal adalah madu.
"Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang beriman."(Al-Isra:82)
"Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah,"Buatlah sarang di gunung-gunung, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang dibikin manusia, kemudian makanlah dari segala(macam) buah-buahan lalu tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan bagimu." Dari perut lebah itu keluar minuman(madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. "(An-Nahl:68-69)
Dari segi perubatan saya sendiri tidak ada pengetahuan mengenai hal ini, namun yang terbaik mohonlah petua dari pencipta kita. Sebenarnya penyakit yang paling teruk bagi manusia adalah apabila fitrah tertutup iaitu kufur. Malah sifat kufur yang terpalit kepada diri seorang muslim itu jugalah yang menyebabkan orang kafir tidak mengetahui tentang kebenaran Islam. Sekiranya seseorang itu selalu mendalami ilmu Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w, berkat hidayah dan rahmatNya, dengan izinNya fitrah yang tertutup itu sedikit-sedikit akan terbuka.
Penularan wabak yang membimbangkan seluruh dunia ini sebenarnya jika kita menjadi muslim yang berfikir, sebenarnya mungkin ada hikmah yang Allah ingin umat manusia mengambil iktibar dari apa yang terjadi. Allah telah mengharamkan secara pasti bahawa daging khinzir tidak boleh dimakan. Akibatnya tengoklah apa yang sedang kita alami sekarang. Bukan sahaja yang memakannya tetapi yang tidak memakannya turut menanggung kerisauan. Ingin saya kongsikan tentang ulasan Sayyid Qutb di sini:
“Adapun persoalan mengenai memakan daging babi diperdebatkan oleh sekumpulan manusia... babi itu sendiri bersifat kotor dan menjijikkan jiwa yang menuntut kebersihan dan kesucian, sesungguhnya pada dagingnya, pada darahnya, dalam perutnya ada cacing-cacing yang sangat merbahaya.

“Sedang manusia lupa bahawa ilmu mereka memerlukan tempoh yang cukup lama untuk mengesan satu kemudaratan daripadanya. Dalam masa yang sama siapa pula yang berani mendakwa tiada mudarat-mudarat lain yang membiak dan aktif dalam daging babi sedang belum diketahui oleh mereka yang bergelar pakar. Maka tidakkah mereka melihat bagaimana syariat Allah SWT mendahului kepakaran manusia sebelum puluhan kurun?” ( Sayyid Qutub, jld:1, hlm: 156).

Dunia perubatan pada hari ini juga telah membuktikan bahawa di dalam daging khinzir, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat berbahaya, cacing pita dan telur-telurnya yang keras yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya syariat Allah SWT yang mendahului ilmu pengetahuan manusia. Allah mengajak semua umat manusia untuk mencari yang halal yang lebih baik dan yang halal itu jugalah yang bertebaran di atas muka bumi ini. Seruan Allah ini bukanlah pada golongan mukmin sahaja bahkan untuk orang-orang kafir yang juga merupakan ciptaanNya. Ini memperlihatkan bahawa Allah itu bersifat Ar-Rahman, menyeru sesiapa sahaja kerna Dialah pencipta mereka dan Dia yang menunjukkan kepada manusia yang mana harus dimakan dan yang mana tidak boleh dimakan.
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Al-Baqarah: 168).
Allah telah menyediakan manual yang lengkap bagi manusia dalam meneruskan kehidupan mereka di atas muka bumi ini iaitu Al-Quran. Semua panduan dariNya tertulis lengkap dan kekal hingga akhirat kelak. Sekiranya umat manusia betul-betul menyedari tentang manual hidup mereka ini pasti masalah seperti ini dapat dielakkan. Teruskanlah peranan kita sebagai muslim dengan mencari yang halal dan menyampaikan kepada umat manusia yang tidak mengetahui kebenarannya kerna yang haram itu hanya sedikit dan yang halal itu tidak terhitung dek akal. Satu hikmah tersirat yang ingin saya kongsikan yang mungkin tidak ramai yang menyedarinya. Penularan wabak ini menunjukkan juga bahawa masih ramai umat manusia yang tidak mengetahui tentang kebenaran larangan Allah dan menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk melaksankan tugas sebagai "wakil" kepada agama Allah untuk menyeru manusia kepada kebenaran. Peluang berada di di bumi kafir ini jadikanlah sebagai peluang untuk kita menyampaikan Islam kepada umat manusia bukan sahaja dengan memelihara ibadah tetapi dari segi keutuhan kita mencari yang halal dan ketrampilan peribadi sebagai muslim kerna beradanya kita di sini bukanlah hanya sebagai duta kecil kepada negara tetapi juga duta kecil kepada agama kita yang mana tidak ramai yang menyedari hakikatnya.
Semoga iman kita sentiasa terpelihara dan dilindungi dari sebarang kemaslahatan.
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk."(An-Nahl:125)

"Mohon kepada Allah keselamatan dan afiat (kesihatan). Sesungguhnya tiada sesuatu pemberian Allah sesudah iman lebih baik daripada kesihatan." (Hadis riwayat Ibnu Majah)


p/s:Bilangan yang disahkan dijangkiti virus ini kini telah meningkat ke angka 126 orang(78 dari kobe dan 48 dari osaka) hanya dalam tempoh 48 jam. Buat warga kobe dan osaka, jangan seronok cuti jek. Jaga diri sama ye...Ingat pesanan embassy dan sekolah....elakkan dari pergi ke bandar-bandar besar yang ramai orang terutamanya Sannomiya...(^_^).Kalau ade sympton seperti suhu badan melebihi 38 celcius, ada batuk/selsema, dan badan rasa lemah-lemah, cepat-cepat call health center! Jangan lupe pakai mask gak. Nak mask free boleh mintak sama kak wannur kite..hihi(^_~)...Sekian, selamat bercuti...semoga Allah lindungi kita semua=)



2 comments:

Anonymous said...

haishh..nampak gaya bahaya la g umah aci mgu ni (><)

ms zemi td pun, macam2 sensei ingatkan spy berjaga2, jgn pergi kansai, beli mask, pergi klinik klu demam dll.

FloWeR LoVeR said...

huhu tuhla...
after rujuk hadis nih, maybe kite trpkse cancel dl kut plan weekend nih(=_=)

"Apabila berlaku dalam satu negeri wabak penyakit dan kamu berada di situ jangan kamu ke luar meninggalkan negeri itu. Jika terjadi ketika kamu di luar negeri itu, jangan kamu memasukinya." (Hadis riwayat Bukhari)

rindu widadtachi..=)